Sukakan Peribahasa SPM? Sila tekan butang 'Like' di bawah.

10 January 2012

batuk vs batok; pagar vs pegar

Saya berasa terpanggil untuk turut memberikan pendapat berkaitan dengan isu dua buah peribahasa yang sekarang ini sedang hangat diperkatakan iaitu perkataan 'pagar' yang sepatutnya digantikan dengan 'pegar' bagi peribahasa 'harapkan pagar, pagar makan padi' dan perkataan 'batok' bagi peribahasa 'melepaskan batuk di tangga'.

Dari satu segi, saya turut bersetuju kalau dikatakan berlaku salah tafsiran dari tulisan jawi ke tulisan rumi. Saya juga turut bersetuju dengan pendirian pihak DBP untuk terus mengekalkan ejaan bagi kedua-dua perkataan tersebut.

Walau bagaimanapun pada pandangan saya, penggunaan perkataan 'batok' dan 'pegar' juga boleh dipertikaikan. Dikatakan bahawa berlaku salah tafsiran perkataan 'batok' dan 'pegar' dari tulisan jawi ke tulisan rumi, tetapi saya terfikir bahawa peribahasa merupakan salah satu warisan sastera lisan yang diturunkan dari mulut ke mulut dan pada pendapat saya tidak direkod ke dalam bentuk tulisan. Kebanyakan sastera lisan tidak direkodkan dalam bentuk tulisan oleh masyarakat kita, hanya disampaikan dari mulut ke mulut sehinggalah timbul kesedaran sebegini pada penghujung abad ke 19 dan pada awal abad ke 20, itu pun dilakukan oleh W.G Shellabear dalam Kitab Kiliran Budi yang merupakan koleksi peribahasa terawal yang pernah direkodkan ke dalam bentuk tulisan. Jadi bagaimana boleh berlaku kesalahan tafsiran dari tulisan jawi ke rumi sedangkan peribahasa boleh dikatakan tidak pernah diterbitkan dalam bentuk tulisan. Oleh itu saya bersetuju kalau pihak DBP meminta bukti manuskrip yang menujukkan berlaku kesalahan ini.

Dari satu segi yang lain, iaitu dari segi makna. Tidak ada salahnya kalau perkataan 'batuk' digunakan dalam peribahasa 'melepaskan batuk di tangga'. Peribahasa ini membawa maksud 'membuat sesuatu dengan tidak bersungguh-sungguh'. Andaikan kita mengunjungi rumah seseorang tetapi kita tidak memberi salam atau tidak memanggil namanya tetapi sekadar melepaskan batuk sahaja supaya didengari oleh tuan rumah dan menyedari bahawa ada tetamu di depan rumah, maksudnya tidak memanggil tuan rumah secara bersungguh-sungguh tetapi hanya batuk-batuk yang dibuat-buat sahaja dengan tujuan menarik perhatian tuan rumah. Mungkin kerana malu atau segan.

Begitu juga dengan perkataan 'pagar' dalam peribahasa 'harapkan pagar, pagar makan padi'. Memang benar burung pegar wujud tetapi persoalannya adakah burung pegar ini memang digunakan oleh petani dahulu kala untuk menjaga padi mereka? Memang pagar tiada mulut untuk memakan padi, tetapi pernahkan kita dengar 'makan jalan' atau 'brek tak makan' atau 'tayar makan sebelah'? Pada saya 'makan' bukan untuk yang bermulut sahaja, jadi jika dikatakan 'harapkan pagar, pagar makan padi', bermaksud pagar yang dibina telah rebah menimpa padi dan seterusnya merosakkan padi yang ditanam. Jadi tidak salah kalau maksudnya mengharapkan seseorang tetapi orang itu mengkhianati kita..

Hanya sekadar pandangan.

6 comments:

Terombo said...

Assalamu'alaikum,

Saya bersetuju dengan pendapat tuan. Tidak kira peribahasa, perbilangan atau kiasan, kita harus melihat yang tersirat. Di dalam kes apakah tersirat pagar atau batuk.

Isu ini timbul hanya merupakan pendapat pemidato bukan sesuatu yang sahih dan diperbesarkan oleh orang yang bukan bidangnya.

Munsyi Bahasa said...

Saya juga setuju dgn pdpt tuan. Berkebetulan pula ada burung yg namanya pegar dan ada pula bekas air yang namanya batok (tempurung).

Anonymous said...

Ini first time saya dengar burung pegar dan batok. tapi saya memang selalu tengok pokok padi kat sekinchan dan tiada satu pon sawah yang ada pagar. macam mana nak pagar makan padi kalau padi memang tidak berpagar?

Saya berpendapat, susah orang melayu kita nak ubah perkara sebegini walaupun buktinya dah depan mata.

contoh terbaik ialah budaya bomoh. walaupun bomoh tu khurafat, syirik, tapi masih ramai yang pergi. sama juga dengan kes ni.

Munsyi Bahasa said...

Terima kasih di atas pandangan saudara.

Mungkin di Sekinchan padi tidak berpagar tapi di tempat lain mungkin berpagar kerana ternakan dibiarkan berkeliaran.

Saya ada merujuk Kamus Dewan, ejaan batok bagi tempurung kelapa ialah 'batok' dan bukan 'batuk'. Ini bertentangan dengan alasan yang diberi oleh pihak DBP bagi mengekalkan ejaan batuk untuk menepati keselarasan vokal..

wallahuaklam..

Anonymous said...

They are all tropicаl solutions and aгe to
be utiliѕеd οnly fоr еxternal use.



mу web blog :: http://www.prnewswire.com/news-releases/trilastin-review-and-latest-coupon-code-savings-released-at-awesomealldaycom-190256601.html

Anonymous said...

walaupun ada maksud tersurat dan tersirat , saya rasa kita tak patut mempertikaikan peribhasa / kiasan yang telah lama diwujudkan . kita mestilah menghormati peribahasa tersebut sebgai warisan dahulu .